MMN, MTIC bermuzakarah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JAN – Rombongan seramai 18 orang ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) telah menghadiri sesi muzakarah bersama Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Al-Mahabbah, Tingkat 1, Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, hari ini.

Hadir mempengerusikan sesi muzakarah tersebut ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof, manakala rombongan ahli MMN pula diketuai oleh Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad.

Semasa sesi itu, Yang Berhormat Dato antara lain telah menggariskan pencapaian-pencapaian utama kementerian berkenaan sepanjang 2020 ini termasuk pelancaran tiga pelan strategik yang berperanan penting bagi mencapai Wawasan Brunei 2035 iaitu Pelan Strategik MTIC 2025 bagi kementerian tersebut, Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 dan Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya bagi Negara Brunei Darussalam 2025 yang disasarkan perlaksanaannya dalam tempoh lima tahun yang akan datang. Beliau telah menggariskan secara terperinci mengenai pelan-pelan berkenaan di mana bawah Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 terdapat beberapa projek utama yang difokuskan bagi mencetus proses transformasi digital di Negara Brunei Darussalam dalam mencapai hasrat dan aspirasi ke arah Negara Pintar. Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai impak pandemik COVID-19 termasuk dalam sektor pengangkutan udara, yang mana menurut Yang Berhormat Dato, seperti negara-negara lainnya, industri penerbangan merupakan industri yang secara langsung mengalami kesan daripada pandemik COVID-19.

Beliau mengongsikan statistik bagi Januari hingga Oktober 2020, di mana jumlah pergerakan penumpang udara adalah seramai 416,012 orang, menurun sebanyak 76.54 peratus berbanding tahun sebelumnya bagi tempoh yang sama. Manakala itu, bawaan barangan udara iaitu kargo udara menurun sebanyak 58.24 peratus daripada jumlah 8,605 ton metrik pada 2019 (sehingga Oktober).

Mengenai keselamatan jalan raya, beliau mengongsikan bahawa berkat usaha sepadu yang berterusan oleh semua pihak berkenaan secara ‘Whole of Nation’ di negara, kemalangan jalan raya yang melibatkan kehilangan nyawa telah menurun lebih 50 peratus dalam jangka masa dua tahun iaitu daripada 29 kematian pada 2017 kepada 13 kematian pada tahun 2019 dan seterusnya menurun lagi kepada 11 kematian setakat November 2020.

Menurut beliau, keselamatan kepada pengguna jalan raya juga mengambil kira akan kepentingan dalam memastikan kenderaan yang digunakan adalah road-worthy. Sesi muzakarah antara MTIC dan ahli-ahli MMN itu adalah platform untuk berbincang secara terbuka dan bertukar-tukar pandangan dalam suasana muhibah mengenai sektor pengangkutan dan infokomunikasi terutama sekali dalam meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan dan program yang diungkayahkan di bawah kementerian berkenaan demi kepentingan rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam.

Turut hadir dalam sesi muzakarah tersebut ialah Setiausaha Tetap di MTIC, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim, para pengarah bahagian, ketua-ketua jabatan, ketua eksekutif pihak berkuasa, pesuruhjaya interim bagi CSB, pegawai-pegawai kanan dan pegawai MTIC.

Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof memberikan penerangan mengenai pencapaian sektor-sektor di bawah kementerian tersebut semasa sesi muzakarah bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Bilik Mesyuarat Al-Mahabbah, Tingkat 1, Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, kelmarin. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib semasa mempengerusikan sesi muzakarah bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara.