Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Majlis Mesyuarat Negara (MMN) kini sedang menghadiri 9th Global Conference of Young Parliamentarians yang dianjurkan bersama oleh The National Assembly of Vietnam dan Kesatuan Antara Parlimen Antarabangsa (IPU) di Hanoi, Vietnam yang bermula pada 14 September lalu hingga esok.
Dengan tema Peranan Belia dalam Melaksanakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) melalui Transformasi dan Inovasi Digital, persidangan mengetengahkan perbincangan tentang kemajuan, dan menyerlahkan kepentingan teknologi dan inovasi yang semakin
mencabar.
Platform tersebut juga memperkasakan golongan muda khususnya, untuk menggalakkan lagi transformasi digital, inovasi serta nilai budaya dalam pembangunan mampan.
Lebih 310 orang ahli parlimen dari 75 buah negara dan organisasi serantau dan antarabangsa menghadiri persidangan tersebut.
MMN telah diwakili oleh Yang Berhormat Chong Chin Yee dan Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin.
Selaras dengan tema persidangan, Yang Berhormat Chong Chin Yee dalam kenyataannya telah menekankan komitmen dan dedikasi negara yang tinggi dalam mempromosikan inovasi dan syarikat-syarikat startup serta memajukan transformasi digital.
Yang Berhormat Pengiran Haji Isa turut memberi kenyataan semasa sesi perbincangan bahawa negara memberi tumpuan kepada pemerkasaan belia sebagai agen perubahan dalam mencapai SDG melalui pelbagai cara seperti mengadakan sesi dialog bagi mempromosikan peranan belia-belia dalam mencapai matlamat tersebut.