Oleh Hakim Hayat
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Satu delegasi peringkat tinggi daripada Dewan Perwakilan Daerah Republik Indonesia (DPD RI) kini sedang berada di Brunei bagi meningkatkan hubungan dan kerjasama dengan Majlis Mesyuarat Negara (MMN).
Sehubungan itu, hari ini, delegasi berkenaan telah membuat kunjungan hormat kepada Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib.
Delegasi berkenaan disertai oleh ahli-ahli DPD RI dan pegawai-pegawainya dengan diketuai oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kapasiti Institusi DPD RI, Dr H Bambang Sadono.
Turut hadir semasa kunjungan hormat berkenaan yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis ialah Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar serta beberapa orang ahli MMN.
Satu sesi dialog juga telah diadakan selepas kunjungan berkenaan di mana kedua-dua belah pihak membincangkan dan bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai perkara terutamanya yang berkaitan dengan aspek-aspek dan tanggungjawab ahli-ahli yang dilantik daerah.



Sesi berkenaan telah dipengerusikan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Haji Hasrin bin Dato Paduka Haji Sabtu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, antara objektif lawatan berkenaan adalah untuk mengukuhkan hubungan baik di antara MMN dan DPD RI supaya ia dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa, di samping sebagai platform bagi perbincangan yang berfaedah yang akan memanfaatkan kedua-dua belah pihak.
Hadir sama semasa lawatan itu ialah Chargé d’ Affaires Kedutaan Republik Indonesia, Arko Hananto Budiadi.