MMPB meriahkan Temburong

Oleh Nurdiyanah R.

TEMBURONG, 27 JAN – Buat julung kalinya, Malam Minggu Pusat Belia (MMPB) telah memeriahkan Daerah Temburong, yang berlangsung di Kompleks Utama Bumiputera, Pekan Bangar, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat semasa acara yang bertemakan MMPB Green Jewel itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin yang sekali gus meninjau lebih dekat ke petak-petak jualan para usahawan tanah air serta golongan belia dalam mengetengahkan bakat dan kemahiran mereka masing-masing.

Acara yang dihadiri lebih 500 orang pengunjung itu telah dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya persembahan kebudayaan oleh Kumpulan Daya Kreasi Seni; seni rekaan fesyen daripada Seni Moda; tawaran menonton filem seram tempatan ‘Ranggau’ dan aktiviti-aktiviti sukan lasak seperti gusti lengan, tarik kalat dan tabata workout.

Selain itu, ia juga diserikan dengan jualan barangan dan perkhidmatan oleh para usahawan tempatan termasuk makanan dan minuman, seni lukis, barangan kraf tangan dan sebagainya.

Presiden MMPB, Hajah Noor Monasalieana @ Suzie binti Haji Mohd Salleh menjelaskan bahawa industri kreatif merupakan salah satu industri yang begitu menarik untuk diterokai bersama.

“Industri ini sangat meluas, dari sebuah kreativiti dijadikan hobi, dari itu terhasilnya rasa cinta dan minat sehingga ia menjadi suatu pekerjaan dan mampu menghasilkan serta meningkatkan perekonomian diri dan juga negara, di samping dihasratkan untuk mengurangkan masalah pengangguran di negara ini,” ujarnya lagi semasa sesi temu bual bersama Media Permata.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bergambar bersama sebahagian usahawan tanah air semasa MMPB Green Jewel.
Antara pengunjung yang hadir memeriahkan acara MMPB Green Jewel yang sekali gus menyokong produk dan barangan yang diketengahkan oleh para usahawan tempatan.