YANGON, 4 DIS – Sebuah kumpulan pemberontak etnik utama Myanmar, Tentera Pakatan Demokratik Nasional Myanmar (MNDAA), menyatakan pihaknya bersedia untuk mengadakan rundingan yang dikendalikan oleh Beijing bersama junta bagi menamatkan lebih setahun pertempuran yang merosakkan kawasan sempadan dengan China.
MNDAA, dengan anggaran kekuatan 8,000 pejuang, telah bertempur dengan tentera Myanmar selama lebih sedekad dalam usaha memperjuangkan autonomi bagi etnik minoriti Kokang di negeri Shan Utara.
Tahun lalu, MNDAA bersama dua kumpulan pemberontak sekutunya melancarkan serangan besar-besaran ke atas tentera Myanmar, merampas sebahagian besar kawasan di negeri Shan, termasuk lombong batu delima dan lebuh raya perdagangan strategik yang menghubungkan Myanmar ke China.
Minggu lalu, sekutu MNDAA, Tentera Pembebasan Nasional Ta’ang (TNLA), turut menyatakan kesediaan mereka untuk me-ngadakan rundingan dengan pihak tentera.
“Bermula hari ini, kami akan segera meng-hentikan serangan dan tidak akan menyerang tentera Myanmar secara aktif,” menurut kenyataan MNDAA yang dikeluarkan kelmarin.
“Di bawah pengantaraan China, kami bersedia mengadakan rundingan damai dengan tentera Myanmar mengenai isu-isu seperti Lashio,” tambah kenyataan itu, merujuk kepada bandar yang ditawan oleh pejuangnya pada Ogos lalu, yang memberikan tamparan hebat kepada junta.
MNDAA turut menyatakan ia bersedia untuk menghantar delegasi peringkat tinggi bagi mengadakan dialog dan berbincang dengan tentera Myanmar, menyelesaikan konflik dan perbezaan melalui pendekatan politik.
Bagaimanapun, jurucakap junta tidak memberi sebarang maklum balas ketika dihubungi berhubung kenyataan MNDAA itu. – AFP