LONDON, 12 JULAI – Bekas juara Olimpik, Mo Farah, buat pertama kali mendedahkan kepada orang ramai kelmarin bahawa dia telah diperdagangkan secara haram semasa kecil ke Britain dari Djibouti dan dipaksa bekerja sebagai orang suruhan. Dia juga menyatakan nama sebenarnya ialah Hussein Abdi Kahin.
Pelari jarak jauh itu diterbangkan ke United Kingdom (UK) dari negara Afrika Timur semasa berusia antara lapan atau sembilan tahun oleh seorang wanita yang tidak dikenali.
Dia kemudiannya diberikan nama Mohammed Farah dan diarahkan untuk menjaga anak-anak dari keluarga lain.
Dia menceritakan kisahnya dalam dokumentari BBC TV bertajuk The Real Mo Farah yang akan disiarkan pada Rabu nanti.
Farah, yang melengkapkan acara beregu 5,000m-10,000m di kedua-dua Sukan Olimpik London 2012 dan Rio 2016, sebelum ini berkata, dia datang ke UK sebagai pelarian dari Somalia bersama ibu bapanya.
Tetapi dalam pendedahan terbaharu kelmarin, lelaki berusia 39 tahun itu kini berkata bahawa ibu bapanya tidak pernah ke UK.
Bapanya terbunuh dalam pergolakan di Somalia ketika Farah berusia empat tahun dan ibunya, Aisha, dan dua orang abangnya tinggal di Somaliland, yang tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Saya bukanlah seperti yang awda fikirkan selama ini,” kata Farah.
“Kebanyakan orang mengenali saya sebagai Mo Farah, tetapi ia bukanlah nama saya yang sebenar,” tambahnya.
Wanita yang terbang bersamanya ke UK memberitahu bahawa dia dibawa tinggal bersama saudara mara dan mengatakan namanya Mohamed kerana dia mempunyai dokumen perjalanan palsu yang menunjukkan gambarnya bersebelahan dengan nama ‘Mohamed Farah’.
Farah juga berkata, anak-anak telah mendorongnya untuk memberitahu perkara sebenar tentang masa lalunya. – AFP