‘Model Y’ barisan baharu SUV Tesla

HAWTHORNE, Amerika Syarikat, 15 Mac – Tesla memperkenalkan kenderaan utiliti sukan elektrik baharu yang lebih besar dan lebih mahal berbanding Model 3 yang dijadikan sebagai kereta elektrik untuk orang ramai.

Ketua Eksekutif Tesla Elon Musk mempamerkan ‘Model Y’ lewat Khamis di studio reka bentuk syarikat di bandar Hawthorne, selatan California dan syarikat itu mula membuat tempahan dalam talian.

Model Y semua elektrik dijual dengan harga permulaan AS$39,000 untuk versi dengan julat sejauh 370 kilometer. Versi jarak jauh SUV yang mampu bergerak sejauh 483 kilometer untuk sekali caj pula berharga AS$47,000.

Penghantaran dijangka bermula lewat tahun depan untuk kenderaan Model Y yang lebih mahal dengan versi rangkaian standard kemungkinan akan sampai kepada pembeli pada musim luruh tahun 2021, menurut Tesla.

Musk berkata Model Y mempunyai fungsi SUV tetapi pengalaman pemanduannya seperti kereta sukan yang boleh memecut dari 0 hingga 60 batu sejam dalam masa 3.5 saat.

Model Y menampilkan ‘bumbung kaca panorama’ dan boleh menempatkan tujuh penumpang, menurut Musk. SUV model asas adalah segmen panas dalam pasaran kenderaan.

“Walaupun model Y bakal tampil dengan janji-janji kemegahan, jika terdapat apa-apa kelemahan dalam perisai jenama Tesla, kenderaan ini akan mendedahkannya.

“Tesla akan belajar dengan tepat apa yang dimaksudkan untuk bersaing dengan pembuat kereta dari Jerman,” kata pengarah eksekutif analisis industri Edmunds Jessica Caldwell.

Model Y akan bersaing dengan SUV menarik seperti yang diperkenalkan oleh BMW, Mercedes dan Audi ke dalam pasaran, menurut Caldwell. – AFP

Elon Musk menyaksikan Tesla Model Y semasa barisan kenderaan baharu berkuasa elektrik itu diperkenalkan di Hawthorne, California kelmarin. – AFP