Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Moderna mohon kelulusan vaksin untuk anak damit

    WASHINGTON, 28 APRIL – Firma bioteknologi Amerika Syarikat (AS) Moderna berkata hari ini ia telah mengemukakan permohonan kebenaran penggunaan kecemasan vaksin COVID di AS untuk kanak-kanak berusia enam bulan hingga bawah enam tahun.

    Kanak-kanak di bawah enam tahun adalah satu-satunya kumpulan umur yang belum mempunyai akses kepada vaksin COVID di AS dan di kebanyakan negara.

    “Kami percaya vaksin ini mampu melindungi kanak-kanak berkenaan daripada SARS-CoV-2, yang amat penting dalam kempen berterusan kami memerangi COVID dan amat dialu-alukan oleh ibu bapa dan penjaga,” kata Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Stephane Bancel dalam satu kenyataan.

    Pada Mac, syarikat mengumumkan hasil keputusan daripada uji kaji menunjukkan suntikan dua dos didapati selamat dan menghasilkan respons imun yang kuat.

    Secara khususnya, dua dos 25 mikrogram diberikan kepada anak damit dan budak tadika menghasilkan jumlah antibodi yang sama dengan dua dos 100 mikrogram yang diberikan kepada orang muda berusia 18 hingga 25 tahun, menunjukkan terdapatnya tahap perlindungan yang sama dengan kes serius COVID.

    Kesan sampingan adalah ringan dan konsisten dengan yang dilihat dalam kumpulan umur lebih tua.

    Bagaimanapun, syarikat mendapati keberkesanan yang agak rendah terhadap jangkitan, dengan percubaan klinikal diadakan semasa gelombang varian Omicron. Keberkesanan vaksin dalam kanak-kanak berusia enam bulan sehingga dua tahun adalah 51 peratus, dan keberkesanan adalah 37 peratus dalam kumpulan umur dua hingga lima tahun, apabila mengehadkan analisis kepada kes yang disahkan positif sahaja menggunakan ujian PCR positif.

    Moderna juga sedang mengkaji dos penggalak untuk semua kumpulan kanak-kanak. – AFP

    Seorang pekerja kesihatan memberikan suntikan vaksin Moderna di klinik vaksinasi di Norristown. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...