KUALA LUMPUR, 16 FEB – Syarikat bioteknologi yang merintis terapeutik dan vaksin messenger RNA (mRNA), Moderna, Inc. hari ini mengumumkan rancangan untuk menubuhkan anak syarikat baharu di Malaysia, disertai tiga anak syarikat lain di Taiwan, Singapura dan Hong Kong.
Pengumuman tersebut mengukuhkan kehadiran sedia ada Moderna di rantau ini dengan pejabat di Jepun, Korea Selatan dan Australia selain menunjukkan komitmen berterusannya terhadap rantau Asia-Pasifik sebagai bahagian penting dalam strategi jangka panjang dan visi komersialnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Moderna, Stéphane Bancel berkata anak syarikat itu akan membantu menyampaikan penyelesaian mRNA kepada rakyat Malaysia.
“Malaysia merupakan peserta yang semakin berkembang dalam industri farmaseutikal dan bioteknologi.
“Kami berharap dapat meneroka peluang kerjasama tempatan memandangkan Moderna sedang meluaskan jejaknya di rantau Asia-Pasifik. Saya teruja untuk membina pasukan yang kukuh, yang dapat memenuhi potensi serantau dan menyampaikan platform mRNA yang kami tawarkan,” katanya. – Bernama