Moderna tarik balik dos dicemari keluli tahan karat di Jepun

TOKYO, 2 SEPT – Moderna Inc dan Takeda Pharmaceutical Co Ltd  dengan kerjasama kerajaan Jepun menarik balik tiga kumpulan vaksin COVID-19 ekoran pencemaran keluli tahan karat dalam beberapa bebulinya, lapor Xinhua memetik laporan media tempatan hari ini.

Hasil siasatan mendapati beberapa bebuli vaksin Moderna Inc untuk kegunaan di Jepun disahkan mengandungi sisa keluli tahan karat, menurut Kementerian Kesihatan.

Moderna berkata pencemaran mungkin berlaku ketika proses pengeluaran.

Kemungkinan pencemaran berlaku akibat geseran dua kepingan logam di mesin pembuatan, menurut Moderna dan Takeda dalam satu kenyataan bersama.

Siasatan dilakukan Moderna dengan kerjasama Takeda dan sebuah syarikat Sepanyol, Rovi, yang mengendalikan pengeluaran vaksin di mana pencemaran berlaku. Berdasarkan hasil siasatan berkenaan, Kementerian Kesihatan Jepun percaya bahawa partikel keluli tahan karat tidak menimbulkan sebarang risiko kesihatan.

“Keluli tahan karat lazimnya digunakan dalam rawatan injap jantung, penggantian sendi dan untuk jahitan serta cantuman menggunakan logam.

“Oleh itu, suntikan mengandungi partikel berkenaan sehingga boleh menyebabkan peningkatan risiko perubatan adalah di luar jangkaan,” menurut kenyataan bersama itu. – Bernama