Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Okt – Pengurus Pasukan Kementerian Pembangunan (MODEV), Khairul Penghulu Haji Bakar berkata dengan tunjuk ajar jurulatih seperti Rosanan Samak, Zaini Tumih dan Rosaidi Kamis, MODEV mampu melangkah lebih jauh lagi dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Keputeraan 2017.
Beliau berkata demikian menjelang perlawanan separuh akhir menentang Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang bakal bermula pada 7 November 2017 nanti.
Pusingan kalah mati akan menyaksikan Pasukan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (MOHA) menentang Pasukan Kementerian Pertahanan, manakala JPM bertembung dengan MODEV.
Perlawanan akan diteruskan pada 11 November dengan berlangsungnya perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat dan perlawanan akhir akan berlangsung pada 12 November nanti.
Sehubungan dengan itu, baru-baru ini Media Permata telah membuat pendekatan bersama dengan Pasukan MODEV.
Pengurus MODEV, Khairul menyatakan rasa tidak sangka untuk melangkah sejauh itu, namun mewakili seluruh skuad MODEV berasa syukur atas kejayaan dalam penyertaan kali ini.
Menurutnya Pasukan MODEV menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dan dengan adanya ramai pemain baru, ia memberikan dimensi baru kepada pasukan untuk terus bersaing dan pasukan mampu melangkah lebih jauh lagi dengan tunjuk ajar jurulatih seperti Rosanan Samak, Zaini Tumih dan Rosaidi Kamis.
“Saya sangat berbesar hati dengan persiapan kami dan kini kami terus giat mempertajamkan pasukan baik dari aspek taktikal, fizikal dan mental pemain bagi menghadapi perlawanan kalah mati tidak lama lagi,” ujarnya mengulas mengenai perkembangan terkini pasukan.
Menurutnya lagi, perlawanan separuh akhir ini bukan perlawanan mudah kerana beliau percaya setiap pasukan yang mara mempunyai kekuatan dan kelebihan masing-masing serta menegaskan Pasukan MODEV komited untuk perlawanan itu nanti.
“Buat masa ini kami bersyukur kerana tidak terdapat kecederaan yang serius dan semua pemain bersedia dan siap siaga untuk perlawanan nanti, meskipun cabaran utama buat masa ini adalah cuaca,” ujarnya lagi.
Beliau menyatakan harapan agar pengurusan akan memilih pelan dan strategi permainan untuk separuh akhir ini nanti kerana baginya perlawanan itu pastinya sengit dan ia memerlukan pemain untuk terus menjaga berdisiplin di dalam dan luar padang, sekali gus menjaga nama baik MODEV namun mengingatkan agar pemain akan turut berasa gembira dalam permainan dan kerjasama sepasukan.
Apabila ditanya mengenai saingan yang bakal dihadapi menentang Pasukan JPM, beliau berkata: “JPM adalah pasukan yang bagus dengan barisan pemain berpengalaman dan mempunyai tahap kecergasan yang optimum, dan kami perlu bersedia untuk perlawanan itu.”