PUTRAJAYA, 31 Mei – Perdana Menteri India, Narendra Modi mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad di sini, hari ini.
Modi, singgah sebentar ke Malaysia untuk menyampaikan ucap selamat dan tahniahnya secara peribadi kepada Dr Mahathir atas kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh.
Beliau tiba di Perdana Putra di sini pada 11.35 pagi dan disambut oleh Dr Mahathir. Kedua-dua pemimpin itu kemudian ke Tingkat 5 Pejabat Perdana Menteri untuk perbincangan selama hampir sejam.
Modi menerusi akaun Twitter rasmi beliau mengatakan bahawa beliau gembira dapat bertemu Dr Mahathir.
“Saya bergembira untuk bertemu Tun Dr Mahathir Mohamad. Saya berterima kasih kepadanya untuk sambutan yang baik. Kami mengadakan perbincangan yang produktif untuk memperkukuhkan lagi kerjasama di antara India-Malaysia,” katanya.

Ini merupakan pertemuan pertama antara dua pemimpin itu. Lawatan terakhir Modi ke Malaysia adalah pada 23 Nov 2015.
Wisma Putra dalam kenyataan pada Selasa berkata pertemuan antara pemimpin kedua-dua negara itu menggariskan kekuatan asas perhubungan yang terjalin beribu tahun lalu antara Malaysia dan India.
Lawatan itu juga menunjukkan komitmen tinggi daripada kedua-dua negara untuk terus mengukuhkan lagi perkongsian strategik.
Malaysia dan India menjalin hubungan rapat menerusi budaya dan sejarah serta dalam pelbagai bidang utama terutamanya pembangunan infrastruktur, pendidikan, pelancongan dan pertahanan.
India merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Selatan dengan jumlah dagangan berjumlah RM61.43 bilion pada 2017.
Sebelum singgah ke Malaysia, Modi telah menamatkan lawatannya ke Indonesia dan dijadualkan melawat Singapura hari ini.
Lawatan ke Indonesia (dari 29 hingga 31 Mei) dan Singapura (31 Mei hingga 2 Jun) bagi memenuhi undangan daripada Presiden Indonesia Joko Widodo dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong. – Bernama