Modi beri amaran isu ketegangan sempadan

NEW DELHI, 16 OGOS – Perdana Menteri India Narendra Modi kelmarin me-ngeluarkan amaran baharu kepada China mengenai ketegangan sempadan yang telah meragut nyawa pada insiden yang lalu, berkata ia berikrar untuk membangunkan sistem ketenteraan yang lebih kuat.

Dengan perbincangan bagi meredakan ketegangan ketenteraan di wilayah perbatasan Himalaya menemui jalan buntu, Modi berkata kedaulatan India perlu diutamakan dan hubungan dengan negara jiran bergantung pada keselamatan dan kepercayaan, katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Kemerdekaan.

Sambutan upacara bersejarah di New Delhi itu dihadiri ribuan orang dengan mereka melakukan penjarakan fizikal bagi mengekang sebarang jangkitan virus.

Perdana menteri itu juga menyentuh mengenai konfrontasi dengan Pakistan dan China di perbatasan mereka yang dipertikaikan, tetapi tanpa menamakan mana-mana negara.

“Sesiapa yang cuba untuk menggugat kedaulatan negara, anggota tentera akan bertindak keras menghalangnya,” katanya.

“Kedaulatan negara ini adalah keutamaan kita. Apa yang boleh kita lakukan, apa yang boleh dilakukan oleh tentera kita – semua orang melihatnya di Ladakh,” merujuk kepada pertempuran sempadan dengan tentera China di wilayah Ladakh, Himalaya pada 15 Jun.

Seramai 20 tentera India terbunuh dalam pertempuran itu, yang menyaksikan kedua-dua belah pihak bertempur menggunakan kekerasan.

China juga mengakui bahawa warganya turut terkorban dalam pertempuran itu tetapi tanpa memberikan bilangan tepat. – AFP