Modric julang Croatia ke pusingan kalah mati

GLASGOW, 23 JUN – Luka Modric membantu Croatia mencipta kemenangan 3-1, sebentar tadi, sekali gus membawa naib juara Piala Dunia itu ke pusingan 16 terakhir Euro 2020.

Nikola Vlasic meledak gol pembukaan Croatia pada minit ke-17, sebelum Callum McGregor menyamakan kedudukan buat Scotland.

Modric bagaimanapun, meletakkan Croatia kembali di depan apabila meledak jaringan pada minit ke-62 dan dia turut membantu Ivan Perisic melengkapkan kemenangan pasukannya.

Croatia mara selaku naib juara Kumpulan D di belakang England yang menjuarai kumpulan selepas jaringan tunggal Raheem Sterling membolehkan pasukan itu mencipta kemenangan 1-0 ke atas Republik Czech.

Czech bagaimanapun, turut melangkah ke peringkat kalah mati sebagai satu daripada pasukan tempat ketiga terbaik. Sementara itu, Callum McGregor mengakui pasukannya dipaksa bekerja keras di atas padang oleh Croatia sebelum tewas yang menyaksikan skuad Steve Clarke tersingkir dari kejohanan Euro 2020.

McGregor menjaringkan gol pertama negaranya di kejohanan utama selepas 23 tahun, namun ia terbukti hanya menjadi gol sagu hati.

“Ia sentiasa menjadi saat yang baik untuk menjaringkan gol dan mendapat gol pertama saya buat pasukan negara, namun kami kecewa dengan keputusan perlawanan,” kata pemain tengah Celtic itu kepada ITV.

“Harapan kami berkecai. Penyokong memberikan sokongan yang mengagumkan dan kami berterima kasih atas sumbangan mereka.”

“Ini adalah pengalaman belajar yang sukar apabila menentang beberapa pemain terbaik, namun ia membuatkan anda dahaga untuk bangkit semula.” – AFP

Aksi Modric ketika menjaringkan gol melepasi penjaga gawang Scotland, David Marshall semasa perlawanan mereka di Stadium Hampden Park di Glasgow, awal pagi kelmarin. – AP