Modric masih berbisa

MADRID, 19 FEB – Pemain terbaik Real Madrid dalam tempoh tiga bulan lalu ialah pemain berusia 35 tahun yang akan tamat kontrak musim panas ini.

Luka Modric mungkin boleh dikatakan sebagai pemain terbaik Real Madrid musim ini selain dipilih sebagai pemain terbaik bulanan oleh penyokong kelab pada November, Disember dan Januari.

Malah dia mampu menang pada Februari juga. Tiada siapa dalam skuad Zinedine Zidane memiliki usia lebih tua dan hanya empat pemain bermain lebih banyak pada musim 2020/21, seorang daripadanya ialah penjaga gol, Thibaut Courtois.

Modric berkongsi kedudukan ketiga senarai penjaring terbanyak kelab dan lima bantuan jaringan. Perbandingan boleh dibuat antara Modric dengan Frenkie de Jong di Barcelona, seorang lagi pemain tengah yang 12 tahun lebih muda selain melalui musim yang hebat.

Modric menggelecek lebih banyak daripada De Jong, lebih banyak dikasari, memintas lebih banyak bola, lebih cubaan, halangan dan menjaringkan jumlah gol yang sama.

“Saya masih ada keinginan sama untuk bermain, untuk bersaing merebut tempat, dan saya memang mahu menunjukkan bahawa usia bukan masalah,” kata Modric.

“Apa yang penting ialah bagaimana anda bermain di padang dan saya harap mampu kekal pada tahap ini untuk tempoh lebih lama.”

Real Madrid akan berdepan Real Valladolid esok sambil berharap untuk mengurangkan jurang di belakang Atletico yang akan menanti kehadiran Levante. – AFP

Gambar fail pada 9 Februari lalu menunjukkan aksi Modric dalam perlawanan menentang Getafe di stadium Stefano di Madrid. – AP