Modric: Pemergian Messi satu kehilangan besar

MADRID, 3 SEPT – Luka Modric berkata jika Messi meninggalkan Barcelona, ia akan menjadi satu kehilangan yang besar. “Ia adalah satu kehilangan yang besar,” katanya. “Sama seperti semasa Cristiano meninggalkan kelab. Tetapi kita tidak boleh bercakap mengenai perkara lepas. Ini adalah bola sepak dan semua boleh terjadi”.

Modric telah berdepan dengan Lionel Messi sebanyak 21 kali dan dia adalah satu-satunya pemain sejak tahun 2008 selain Cristiano Ronaldo yang menewaskannya untuk anugerah Ballon d’Or. Dia tahu apa maknanya jika Messi meninggalkan kelab. “Jika ini berlaku, ia akan menjadi satu kehilangan yang besar buat liga berprestij ini,” beritahunya kepada AFP. “Tetapi kita perlu bergerak ke hadapan. Pemain lain akan bangkit menjadi bintang.

“Apabila Ronaldo mening-galkan kelab, perkara yang sama berlaku, kehidupan di Real Madrid diteruskan tanpanya dan ia juga sama untuk Barcelona dan La Liga tanpa Messi”. Selepas Ronaldo, Real Madrid telah memecat dua orang pengurus dan kemudian kembali kepada pengurus terdahulu untuk kembali mengukuhkan kedudukan, fasa pemulihan yang belum lengkap seperti mana yang dilihat apabila tersingkir dua musim berturut-turut dalam kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara. Dengan pemergian Messi, walaupun dia tidak gembira, akan memberi Madrid peluang, bukan hanya menjuarai La Liga sekali lagi tetapi mengukuhkan penguasaan di Sepanyol.

Langkah pertama adalah mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada Julai.

“Kami tidak mempunyai skuad yang muda tetapi kami mempunyai pasukan yang berpengalaman,” kata Modric. “Kami mempunyai pemain muda, yang semakin meningkat. Saya tidak tahu sama ada kami akan membeli pemain baharu tetapi jika ia masih sama, kami mempunyai kualiti yang mencukupi.

“Kami telah menunjukkannya di La Liga dan kami tahu kami mampu melakukannya sekali lagi.

Selepas penggantungan, kami kembali dengan bersungguh-sungguh. Kami merindui bola sepak, kami rindu memenangi perlawanan. “Kami bekerja keras, saya rasa fizikal kami adalah yang terbaik dalam liga dan sebab itu kami memenanginya. Ia adalah kejuaraan La Liga kedua saya dan saya mahukan lebih kemenangan”. – AFP