Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) serta jabatan-jabatan di bawahnya hari ini mengadakan Majlis Doa Kesyukuran dan Membaca Surah Yasin sempena Semarak Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 (HK40), tahun 2024.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis yang berlangsung di Surau, Tingkat 3, Island Block, bangunan kementerian berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Majlis dimulakan dengan solat Sunat Hajat dan diikuti dengan bacaan Surah Yasin dan Doa Kesyukuran sebelum diakhiri dengan solat Fardu Asar berjemaah yang diimamkan oleh Imam Tingkat I, Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong, Haji Mohd Amaluddin bin Haji Jamaluddin.
Semarak Hari Kebangsaan dilaksanakan sebagai salah satu acara sampingan bagi memeriahkan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40.
Di samping itu, majlis juga bagi memohon ke hadrat Ilahi agar Negara Brunei Darussalam, raja, rakyat dan penduduk serta segala isi di dalamnya dan seluruh teluk rantau dan jajahannya akan terus dikurniakan keberkatan dan sentiasa terpelihara dan diberkati oleh Allah SWT di bawah kepimpinan adil laila bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam turun-temurun di atas takhta singgahsana.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid, pemangku setiausaha-setiausaha tetap, Pengarah Urusan Brunei Darussalam Central Bank, timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan MOFE serta jabatan-jabatan di dalamnya.
Majlis pada tahun ini adalah dikelolakan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik, MOFE.