Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Seramai 45 orang pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) serta jabatan-jabatan di dalamnya yang telah bersara pada 2022 menerima cenderamata persaraan dalam majlis yang berlangsung di Dewan Teater, Bangunan MOFE, Commonwealth Drive, di sini, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi menyempurnakan penyampaian cenderamata ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan disusuli dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Setiausaha Tetap (Fiskal I), Haji Asrul Adrain bin Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr Haji Ahmad sebelum penyampaian cenderamata oleh tetamu kehormat majlis.
Antara lain objektif majlis adalah untuk memberi penghargaan kepada pegawai-pegawai dan kakitangan yang telah bersara dan untuk menghargai jasa dan bakti yang telah dicurahkan semasa bertugas di kementerian tersebut.
Di samping itu, ia juga bertujuan untuk mengekalkan silaturahim dan hubungan kekeluargaan antara pegawai dan kakitangan yang telah bersara dan masih berkhidmat.
Majlis Penyampaian Cenderamata Persaraan MOFE itu telah diselenggarakan oleh Bahagian Pembangunan Sumber Manunsia dan Hal Ehwal Korporat.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid, pemangku setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai-pegawai kanan berserta para pegawai dan kakitangan MOFE dan jabatan-jabatan di dalamnya.