Tuesday, December 5, 2023
23.3 C
Brunei

    -

    Mogok baharu diadakan di Perancis

    PARIS, 6 JUN – Kesatuan sekerja Perancis menganjurkan satu lagi mogok dan tunjuk perasaan hari ini untuk menggagalkan reformasi pencen Presiden Emmanuel Macron, dengan menegaskan bahawa perjuangan untuk menggagalkan perubahan itu belum berakhir walaupun ia menjadi undang-undang.

    Ratusan ribu orang dijangka turun ke jalan raya di seluruh Perancis untuk demonstrasi hari ke-14 sejak Januari untuk menentang reformasi tersebut.

    Macron menandatangani undang-undang tersebut pada April, meningkatkan umur pencen kepada 64 daripada 62 setelah pihak kerajaan menggunakan mekanisme kontroversi tetapi sah untuk mengelakkan undian di parlimen mengenai rang undang-undang itu.

    Peningkatan umur pencen tersebut, yang bertujuan untuk memperkuat kewangan jangka panjang Perancis yang bermasalah, merupakan janji utama dalam penggal kedua dan terakhir Macron memegang jawatan tersebut.

    “Ia akan menjadi satu lagi hari besar dalam sejarah pergerakan kesatuan sekerja,” ketua baharu kesatuan CGT berhaluan kiri, Sophie Binet, memberitahu televisyen BFM hari ini.

    “Selepas enam bulan kesatuan masih bersatu dan tahap kemarahan, kekecewaan dan motivasi adalah tinggi.

    “Saya mendengar orang ramai kadang-kadang berkata bahawa segala-galanya sudah berakhir, tetapi ia tidak benar,” ujarnya.

    Kira-kira 250 penunjuk perasaan di seluruh negara itu telah diumumkan dan pihak berkuasa menjangkakan antara 400,000 ke 600,000 orang akan turun ke jalan raya, kurang separuh daripada puncak pada 7 Mac, apabila 1.28 juta orang dianggarkan berdasarkan hitungan pihak polis.

    Pasukan keselamatan berjaga-jaga terhadap kumpulan anarkis radikal yang sering menyusup ke perhimpunan besar untuk bertempur dengan polis dan merosakkan harta benda dan seramai 11,000 pegawai bertugas telah ditempatkan. – AFP

    Penunjuk perasaan mengambil bahagian semasa tunjuk perasaan pada hari ke-14 di Rennes, barat Perancis, pada 6 Jun. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Belarus, China terus tingkat hubungan

    BEIJING, 4 DIS – Presiden China, Xi Jinping, dan Alexander Lukashenko mengalu-alukan peningkatan hubungan hari ini, setelah mereka mengadakan perbincangan semasa lawatan kedua pemimpin...