BRASILIA, 30 Mei – Presiden Michel Temer mengarahkan anggota tentera dan polis untuk campur tangan, sebagai usaha untuk menamatkan mogok pemandu trak di seluruh negara yang kini telah memasuki hari kesembilan.
Berdasarkan laporan Brasil 24/7, Temer turut mengarahkan siasatan dipercepatkan untuk menahan mereka yang terbabit dalam bantahan berkenaan.
Semasa pertemuan di pejabat rasmi presiden Brazil, pengarah polis persekutuan Rogerio Galloro menggariskan prosedur penangkapan terhadap penunjuk perasaan.
Menurut Galloro, polis persekutuan hanya boleh menangkap penunjuk perasaan jika mempunyai perintah mahkamah.
Pada Ahad, Temer mengumumkan beberapa langkah untuk menamatkan mogok, termasuk memotong cukai diesel selama 60 hari, mengurangkan tol untuk trak tanpa muatan dan kadar tambang minimum. Bagaimanapun, langkah itu gagal menamatkan mogok yang telah melumpuhkan ekonomi Brazil itu, sebaliknya kini mogok turut disertai pemandu bas sekolah dan penghantar kiriman cepat sebagai tanda sokongan.
Mogok berkenaan menyebabkan kekurangan bekalan makanan dan bahan api di seluruh negara.
Pengurus sebuah pasar raya di Rio, Marco Colal berkata, rak buah-buahan dan sayur-sayuran di pasar raya kosong kerana tiada bekalan.
Paulo Gavlao, pengurus farmasi berdekatan pula menyuarakan kebimbangannya kerana penghantaran bekalan ubat-ubatan sudah lama tidak diterima. Pada minggu lalu, Syarikat Infrastruktur Lapangan Terbang Brazil (Infraero) mengeluarkan kenyataan yang memberi amaran, lapangan terbang di Congonhas (Sao Paulo) serta bandar-bandar Palmas, Recife, Maceio dan Aracaju mengalami kekurangan bekalan bahan api. – Bernama