Mohammad, Dk Siti Ummi Syazana juara musabaqah

Oleh Syahmi Hassan & Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam malam tadi berkenan berangkat ke Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1441H/2020M bertempat di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Tahun 1441 Hijrah dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1441H/2020M dan Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.

Turut menjunjung ialah Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Awang Besar, dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar selaku ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Tahun 1441 Hijrah serta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi yang lain.

Majlis dimulakan dengan persembahan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh qariah jemputan dari Maghribi yang merupakan johan qariah Musabaqah Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur pada tahun 2012, Hasnae Khoulali.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan hadiah bagi johan qari Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1441H/2020M kepada Awang Mohammad bin Ali.
Baginda Sultan ketika berkenan mengurniakan hadiah bagi johan qariah Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1441H/2020M kepada Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berserta kerabat diraja berkenan dijunjung berangkat bagi menerima junjung ziarah dan beramah mesra bersama peserta-peserta yang mengikuti Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1441H/2020M.
Baginda Sultan ketika berkenan berangkat ke majlis tersebut.
Baginda Sultan ketika berkenan dijunjung bergambar ramai bersama salah seorang peserta yang mengikuti Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1441H/2020M.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah; DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah ketika berkenan berangkat ke majlis berkenaan.

Para jemputan yang menghadiri majlis itu.

Majlis diteruskan dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

Yang Berhormat Pehin antara lain menyembahkan bahawa keberangkatan Baginda Sultan sangatlah menyerikan kemeriahan majlis yang setepatnya sentiasa akan menjadi pemangkin semangat mencintai kitab suci Al-Quran yang bukan sahaja setakat memuliakannya bahkan juga untuk membacanya dengan bacaan yang baik serta untuk mendapat fadilat keberkatan wahyu Allah dan juga meraih pahala dan memetik serta memahami pengajaran ayat-ayatnya.

“Sesuai dengan majlis pe-ringkat negara malam ini, kita semua sedang memuliakan Al-Quran dengan ayatnya dibaca dan diperdengarkan.

“Mudah-mudahan Allah SWT akan merahmati kita sekalian dalam majlis ini dan Brunei berserta sekalian rakyat dan penduduknya akan juga mendapat berkat daripada Al-Quran dan seterusnya kekal dalam rahmat Allah hidup sejahtera, aman dan bahagia, sentiasa dilindungi oleh Allah daripada segala wabak penyakit dan bala bencana,” tambahnya.

Majlis diteruskan dengan pengurniaan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia diikuti dengan pengumuman keputusan pertandingan yang disembahkan oleh Pengerusi Jemaah Hakim, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

Dalam pertandingan tersebut, Awang Mohammad bin Ali muncul juara qari dengan markah 91.75 peratus diikuti oleh Pengiran Muhd Amirul Aiman bin Pengiran Haji Marjuki selaku naib johan dengan 89.24 peratus dan Awang Mohamad Zul-Hafiz bin Awang Tengah di tempat ketiga dengan 87.99 peratus.

Manakala itu, johan qariah, Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki telah berjaya mendapatkan markah 91.17 peratus, diikuti oleh Dayangku Fauziah Nadhirah binti Pengiran Haji Jofri selaku naib johan dengan 90.43 peratus dan Dayang Siti Zahrina binti Haji Abdul Wahab mendapat 90.25 peratus di tempat ketiga.

Majlis diikuti dengan persembahan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh johan qari dan johan qariah Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1441H/2020M.

Sejurus selepas itu, Baginda Sultan berkenan menganugerahkan hadiah-hadiah cenderamata kepada johan qari dan johan qariah serta para peserta, hakim-hakim dan qariah jemputan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1441H/2020M.

Johan qari dan qariah membawa pulang piala pusingan; wang tunai $7,000, pakej menunaikan fardu haji bagi johan kali pertama, kepingan emas 20 gram bernilai $3,164 sumbangan daripada Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan Anak-anak Syarikatnya; Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd dan Darussalam Holdings Sdn Bhd, sebidang kain tenunan Brunei sumbangan daripada Syarikat Little Ummi, piala pusingan, piala iringan serta sijil penyertaan.

Naib johan qari dan qariah membawa pulang wang tunai $5,000; kepingan emas seberat 10 gram bernilai $1,582 sumbangan daripada Perbadanan TAIB dan Anak-anak Syarikatnya; Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd dan Darussalam Holdings Sdn Bhd dan piala iringan serta sijil penyertaan.

Manakala tempat ketiga qari dan qariah membawa pulang wang tunai $3,000; kepingan emas seberat 5 gram bernilai $791 sumbangan Perbadanan TAIB dan Anak-anak Syarikatnya; Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd dan Darussalam Holdings Sdn Bhd dan piala iringan serta sijil penyertaan.

Hadiah penghargaan juga diberikan kepada qari dan qariah iaitu berupa wang tunai $1,500; piala iringan serta sijil penyertaan.

Majlis diteruskan dengan bacaan Sayyidul Istighfar oleh penuntut-penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz.

Pada Tahun ini, seramai 12 orang peserta iaitu enam orang qari dan enam orang qariah yang terpilih di peringkat separuh akhir kebangsaan dan telah berentap memperdengarkan bacaan mereka pada malam pertama dan malam kedua Musabaqah Peringkat Akhir Kebangsaan tersebut.

Tema Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1441H/2020M ialah ‘Menjana Keberkatan Rezeki Dengan Al-Quran’.

Bagi memeriahkan lagi Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1441H/2020M, juga telah diadakan pameran dan jualan buku-buku daripada agensi-agensi kerajaan, jualan usahawan mualaf, dan jualan daripada beberapa syarikat swasta yang dijemput.