Mohammad Radhi sertai Sarawak United

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Mohammad Radhi bin Raduan dari Akademi Almerez Futsal dilaporkan menjadi pemain futsal pertama di negara ini yang akan bermain bagi pasukan luar, iaitu pasukan futsal Sarawak selepas berjaya melepasi sesi pemilihan.

Pemain futsal tempatan itu yang disertai jurulatih, Mohammad Norezan bin Mohd Rafee dan Muhammad Afiq Afandi berlepas ke Bintulu kelmarin bagi menjalankan ujian kecergasan sebelum majlis menandatangani kontrak, di mana beliau dan rakan sepasukan baharunya akan secara rasmi diumumkan sebagai pemain Sarawak United.

Sarawak United akan bermain di Liga Perdana Futsal Malaysia 2020 pada musim ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Negara Brunei Darussalam (NFABD), Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan, berkata pemilihan Mohd Radhi akan membantu meningkatkan profil pemain di Brunei.

“Saya berharap Radhi yang menyertai pasukan baharunya akan memberikan banyak galakan kepada pemain bola sepak Brunei yang muda sehingga mereka bermotivasi dan menyimpan cita-cita tinggi.

“Pada masa yang sama, ia memberi mereka kesempatan untuk menjadi pemain profesional sekali gus satu pekerjaan. Ia juga akan meningkatkan profil pemain negara Brunei ke luar negara,” kata beliau. Sehubungan dengan itu, beliau juga menyuarakan bahawa penerimaan Radhi ke sebuah kelab luar negara menunjukkan tidak ada kekurangan bakat futsal di negara ini.

Beliau berkata, “seperti Radhi, kami amat gembira bahawa bakat Brunei telah dikesan dan diberi peluang untuk bermain untuk pasukan profesional di Malaysia. Ini bermakna Brunei tidak kurang bakat tetapi kita perlu mendorong dan menyokong pemain lain untuk bercita-cita tinggi agar mereka dapat merebut peluang bermain di sana dan di peringkat antarabangsa.”

Manakala Mohammad Radhi ketika menyentuh mengenai perpindahannya ke Sarawak, “Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga saya kerana selalu menyokong saya, jurulatih saya di Akademi Almerez Futsal yang sentiasa memberikan bimbingan kepada saya, dan NFABD kerana terus menyokong dan membantu dalam perpindahan ke Sarawak United. Saya akan melakukan yang terbaik bukan sahaja untuk saya sendiri tetapi juga untuk negara saya.”

Mohammad Radhi bersama jurulatihnya Mohammad Norezan dan Muhammad Afiq Afandi meninggalkan negara semalam.