Sunday, March 23, 2025
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mohammad Zakwan juara Pidato BELTA ke-11

    Oleh Imelda Groves HA

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Awang Mohammad Zakwan bin Dr Haji Airwan dari Sekolah Saint Margaret dinobatkan sebagai pemenang Pertandingan Akhir Pidato (Oratory) BELTA ke-11 yang berlangsung di Hotel Badi’ah, Batu Satu, di sini, kelmarin.

    Sementara itu, Ampuan Amirah Farahiyah binti Ampuan Haji Mohammad dari Sekolah Saint Angela menduduki tempat kedua diikuti oleh Dayang Syasya Sahira binti Yusop dari Sekolah Sukan di tempat ketiga.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Pengarah Urusan Insurans Islam TAIB, Haji Osman bin Haji Mohd Jair.

    Pemenang tempat pertama membawa pulang hadiah buku-buku bernilai $500, Trofi Pehin Rahman Taib – trofi cabaran yang ditaja oleh bekas Menteri Pendidikan, trofi pertandingan, baucar $50 dan sijil penyertaan.

    Tempat kedua pula membawa pulang hadiah buku-buku bernilai $400, trofi pertandingan, baucar buku bernilai $40 dan sijil penyertaan manakala itu, pemenang ketiga menerima hadiah buku-buku bernilai $300, trofi pertandingan, baucar bernilai $30 dan sijil penyertaan.

    Gambar ramai para peserta bersama tetamu kehormat majlis dan hakim-hakim pertandingan.

    Sementara itu, lima finalis yang lain pula masing-masing membawa pulang hadiah buku-buku bernilai $100, trofi pertandingan, baucar buku bernilai $20 dan sijil penyertaan.

    Pertandingan yang menerima penyertaan dari 20 buah sekolah menengah pada 20 Julai 2018 yang lalu ini dianjurkan oleh Persatuan Guru Bahasa Inggeris Brunei (BELTA).

    Daripada 20 orang peserta dari sekolah-sekolah menengah seluruh negara ini, hanya lapan finalis yang layak untuk bertanding pada peringkat akhir.

    Bengkel pra-persaingan juga telah diadakan pada 31 Julai lalu di Sekolah Menengah Berakas bagi lapan finalis dengan mendengarkan taklimat mengenai kemahiran pembentangan.

    Finalis diberikan beberapa minit untuk membuat pembentangan dengan topik rawak yang ditetapkan oleh penyampai iaitu Elizabeth Sim, salah seorang ahli Kelab Toastmasters
    Brunei.

    Pertandingan yang diadakan sejak 2007 itu telah menarik ramai peserta dan secara beransur-ansur menjadi salah satu pertandingan Bahasa Inggeris yang sering dinanti-nantikan oleh kalangan pelajar-pelajar sekolah menengah di negara ini.

    Antara tujuan pertandingan adalah untuk menjadi platform bagi suara para peserta didengar.

    BELTA menyampaikan penghargaan kepada Insurans Islam TAIB dan TAIB atas sumbangan mereka pada acara yang juga disokong sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan, khususnya Akademi Guru Negara Brunei Darussalam (BDTA).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda