Mohammad Zul-Hafiz, Hajah Nurfaezah juara Qari, Qariah

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Awang Mohammad Zul-Hafiz bin Haji Awang Tengah dan Hajah Nurfaezah binti Haji Emran masing-masing diumumkan sebagai juara qari dan qariah Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1442 Hijrah/2021 Masihi.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang, cenderamata dan sijil kepada para peserta, hakim musabaqah dan qari jemputan, pada majlis pengumuman yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, malam hari ini.

Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke majlis tersebut dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Jabatan Adat Istiadat Negara, JPM, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2021M; Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; beserta ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2021M.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama yang antara lain menyembahkan bahawa dengan berkat kepimpinan bijaksana lagi berwawasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, maka dakwah dan penghayatan ajaran Islam itu dilaksanakan selaras dengan usaha membangun dan memajukan negara secara seimbang dan akan sentiasa terpelihara baik demi keamanan negara dan kesejahteraan rakyat yang diredhai oleh Allah SWT.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah. Turut berangkat ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Baginda Sultan berkenan dijunjung beramah mesra bersama para peserta musabaqah pada majlis tersebut.
Baginda Sultan berkenan dijunjung untuk bergambar ramai bersama salah seorang peserta dan ahli keluarganya pada majlis tersebut. Turut berangkat ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama ketika menyampaikan sembah alu-aluannya.
Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.

“Untuk maksud sedemikian itu ajaran Islam telah disebarkan. Dan yang terpenting ianya diajarkan secara persekolahan dan berada dalam jalur dan arus pendidikan kebangsaan.

Dengan itu memungkinkan ianya diamalkan dan difahami secara amalan dan fahaman yang betul dan tulen.

Majlis diteruskan dengan pengurniaan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia, diikuti dengan pengumuman keputusan pertandingan yang disembahkan oleh pengerusi jemaah hakim, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

Awang Mohammad Zul-Hafiz muncul juara qari dengan markah 92.83 peratus diikuti oleh Awang Mohammad bin Ali selaku naib johan dengan 91.67 peratus dan Haji Nasrul Fakhri bin Haji Yahya di tempat ketiga dengan 91.5 peratus.

Manakala itu, johan qariah, Hajah Nurfaezah telah berjaya mendapatkan markah 91.42 peratus yang diikuti oleh Dayangku Fauziah Nadhirah binti Pengiran Haji Jofri selaku naib johan dengan 90.58 peratus dan Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki mendapat 89.75 peratus di tempat ketiga. Johan telah menerima wang tunai $7,000, piala pusingan, piala iringan, sijil penyertaan, pakej menunaikan fardu haji (bagi johan kali pertama), kepingan emas 10 gram sumbangan daripada Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd dan Darussalam Holdings Sdn Bhd, sebidang kain tenunan Brunei sumbangan Syarikat Little Ummi.

Naib johan menerima wang tunai $5,000, piala iringan, sijil penyertaan, dan kepingan emas 5 gram sumbangan daripada Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd dan Darussalam Holdings Sdn Bhd.

Manakala tempat ketiga menerima wang tunai $3,000, piala iringan, sijil penyertaan, dan kepingan emas 5 gram sumbangan daripada Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd dan Darussalam Holdings Sdn Bhd.

Majlis diikuti dengan persembahan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh johan qari dan johan qariah Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1442H/2021M.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.