Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 April – Atlet tunggal wushu yang mewakili Negara Brunei Darussalam, Mohd Adi Salihin bin Roslan, bertekad untuk memberikan persembahan yang terbaik serta akan berusaha untuk mengharumkan nama negara dalam Pertandingan Piala Wushu Pars ke-6 yang akan berlangsung di Semnan, Iran selama lima hari bermula 13 hingga 17 April.
Kontinjen Negara Brunei Darussalam yang menyertai pertandingan berkenaan terdiri daripada jurulatih, Li Hui dan Mohd Adi Salihin berlepas ke Iran, hari ini.
Hadir untuk mengucapkan selamat berlepas kepada kontinjen negara dalam kejohanan itu, di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, ialah penolong-penolong jurulatih wushu, ahli-ahli dari Persatuan Wushu Negara Brunei Darussalam serta ibu bapa dan keluarga.
Dalam kejohanan itu nanti, atlet muda negara bakal beraksi dalam kategori masing-masing dengan mempersembahkan gerakan dan menggunakan gaya seni mempertahankan diri tradisional dalam acara Nan Quan, Nan Dao dan Nan Gun.
Menurut jurulatih Li Hui, penyertaan Brunei dalam pertandingan berkenaan merupakan penyertaan kali pertama dan ia merupakan sebagai persiapan atlet negara untuk menimba pengalaman bertanding sebelum penyertaan atlet-atlet wushu dalam Sukan SEA nanti di Kuala Lumpur, Malaysia.
