Wednesday, April 24, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Mohd Azizulhasni idola Nurul Izah

    KUALA LUMPUR, 6 JULAI – Atlet berbasikal trek wanita kebangsaan Malaysia dan juara Asia, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menjadikan jaguh Malaysia, Datuk Mohd Azizulhasni Awang sebagai idolanya dalam mengejar impian bergelar pelumba terbaik dunia.

    Gadis berusia 19 tahun berasal dari Jitra, Kedah itu berkata menjuarai Kejohanan Dunia dan memenangi pingat di Sukan Olimpik ialah pencapaian yang disasarkan dalam kariernya, sama seperti apa yang telah diraih Mohd Azizulhasni setakat ini.

    Namun, hasrat Nurul Izah untuk menjadi rakan sepasukan kepada idolanya itu yang merupakan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara keirin pada penampilan sulungnya di temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022,
    bulan hadapan tidak kesampaian.

    Atlet berbasikal Malaysia, Mohd Azizulhasni yang merupakan juara dunia 2017 menerusi acara keirin dan turut merangkul pingat gangsa acara itu pada Sukan Olimpik Rio 2016, kini dalam fasa pemulihan selepas menjalani pembedahan jantung terbuka, April lepas sekali gus terpaksa melupakan aksi di Birmingham.

    Bagaimanapun, Mohd Azizulhasni tetap akan ‘mengiringi’ beliau ke Birmingham apabila nasihat daripada Pocket Rocketman itu dalam satu pertemuan sebelum ini sentiasa dipegang Nurul Izzah.

    “Ketika itu perjumpaan antara kami pelumba junior dengan dia. Dia pesan berlatih betul-betul, jangan malas dan kena rajin berusaha,” katanya yang meraih pingat emas 500 meter (m) ujian masa wanita dengan catatan 35.499 saat (s) di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi, India, bulan lepas.

    Pada kejohanan tersebut, beliau turut merangkul gangsa dalam acara keirin sekali gus mencipta sensasi dan dianggap sebagai permata baharu skuad berbasikal trek Malaysia. – Bernama

    Atlet pelumba basikal trek Malaysia, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri bercakap kepada pemberita selepas menerima lawatan dari Timbalan Ketua Kontinjen Negara (CDM) baru-baru ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...