Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Tindakan pantas Awang Mohd Nurfaiq bin Halim dari J Guard Security Services yang berjaya memadamkan kebakaran kereta telah mendapat penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) melalui Cawangan Operasi ‘A’ yang menyampaikan Sijil Masyarakat Berjasa, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan JBP, dalam kejadian di kawasan tempat letak kereta Bangunan Athirah, Batu Satu pada 6 Januari itu, Awang Mohd Nurfaiq berjaya memadamkan kebakaran daripada merebak dengan menggunakan alat pemadam api jenis ABC Dry Powder 4.5kg.
Sijil telah disampaikan oleh Pemangku Pegawai Pemerintah Operasi ‘A’, Penguasa Bomba dan Penyelamat, Haji Mustapa bin Haji Mohamad pada majlis yang diadakan di Balai Bomba Beribi. Turut hadir ialah pegawai-pegawai Unit Perhubungan Awam Cawangan Operasi ‘A’
Kenyataan turut mengongsikan bahawa JBP menawarkan kursus-kursus seperti marsyal bomba, Lifesaver 995 dan Taklimat Keselamatan Kebakaran.
Jika berlaku sebarang insiden kecemasan, hubungi talian kecemasan bomba 995 dan memberikan maklumat yang tepat.