Mohd Saedon menang $10,000 Suzuki Duit Raya

Oleh Rafidah Jumat

Gambar Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Nasib menyebelahi Awang Mohd Saedon bin Osman apabila memenangi hadiah wang tunai $10,000 dalam cabutan utama Suzuki Duit Raya yang di Beribi, hari ini.

Awang Mohd Saedon memenangi hadiah itu selepas mengalahkan empat peserta lain dalam pusingan cabaran akhir ‘Putar untuk Menang’ yang memerlukan peserta melewati semua perangkap permainan sehingga ke titik akhir.

Terdahulu, 50 peserta telah dipilih secara rambang dari 1,000 penyertaan dan kesemua peserta ini terpaksa melalui tiga pusingan untuk memenangi cabutan utama.

Pusingan cabaran pertama memerlukan kesemua peserta meneka jumlah getah yang digantung pada siling bilik pameran dalam tempoh lima minit yang diberikan, dan 10 peserta yang meneka jumlah getah dalam lingkungan terdekat akan meneruskan ke pusingan seterusnya manakala peserta yang tidak berjaya akan diberikan baucar tunai $100.

Pusingan seterusnya bagi 10 peserta ini ialah menerbangkan pesawat kertas sehingga mendarat di ruang terbuka but Suzuki Ertiga dan lima peserta yang berjaya akan layak ke pusingan akhir iaitu Putar Untuk Menang.

Lima peserta lagi yang tidak berjaya akan membawa pulang hadiah $500.

Pusingan akhir ini turut menyaksikan pemenang kedua membawa pulang baucar wang $5,000 yang dimenangi Awang Abdul Rafiuddin bin Abdul Rasid, baucar $2,000 digenggam Pengiran Mohd Shah bin Pengiran Haji Ahmad sementara Awang Yamahad bin Haji Ismail memenangi $1,500 dan baucar $1,000 berada di tangan Mohammad Hairee bin Jali @ Jair.

Penyampaian hadiah disampaikan Pengurus Jualan Baiduri Finance, Haji Mohd Ali bin Haji BM Metussin.

Awang Mohd Saedon ketika menerima hadiah untuk pemenang cabutan utama Suzuki Duit Raya.
Para pemenang Cabutan Bertuah Suzuki Duit Raya bergambar ramai selepas majlis penyampaian hadiah, kelmarin.