Mohd Shafie hadir majlis kesyukuran Maal Hijrah

KOTA KINABALU, 10 Sept — Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini menghadiri Majlis Kesyukuran sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 2018/1440 Hijrah di Masjid Negeri, di sini.

Ketibaan Mohd Shafie bersama isteri Datin Seri Suryani Shuaib pada jam 6 petang disambut oleh Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Aidi Mokhtar dan isteri Datin Faridah Mohammad.

Turut hadir Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob dan Mufti Sabah Datuk Bongsu Aziz Jaafar.

Datuk Seri Mohd Shafie Afdal bersalaman dengan masyarakat Kota Kinabalu sempena Majlis Kesyukuran Akhir dan Awal Tahun Hijrah yang diadakan di Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu, semalam. – Bernama

Majlis itu dimulakan dengan bacaan doa sebelum diteruskan dengan solat Maghrib.

Ia kemudian diteruskan dengan bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat serta solat Isyak yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negeri Ibrahim Kisab.

Umat Islam di sekitar Kota Kinabalu turut hadir mengimarahkan majlis kesyukuran tersebut. – Bernama