Mohd Shafie mahu isu tuntutan Sabah diselesaikan

KOTA KINABALU, 28 OGOS – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta kerajaan pusat agar duduk semeja berunding dengan Filipina atas platform kerajaan dengan kerajaan bagi menyelesaikan isu tuntutan negara itu ke atas Sabah yang terus diungkit.

Katanya isu itu harus diselesaikan secara tuntas agar tidak lagi berbangkit pada masa depan.

“Kita tidak mahu perbalahan berlaku oleh sebab perkara seumpama ini yang dianggap perkara kecil, kalau tidak dipadamkan akan menjadi api yang membara,” katanya  pada sidang media di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini hari ini.

Semalam, dilaporkan Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Kamarudin Jaafar memberitahu persidangan Dewan Rakyat bahawa cadangan memasukkan Sabah dan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) sejauh 200 batu ke dalam peta pasport Filipina bukan langkah terbaharu atau pendirian rasmi kerajaan negara itu.

Menurut Kamarudin, perkara itu adalah polemik yang sengaja diulang oleh ahli politik Filipina bagi meraih sokongan politik domestik semata-mata.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie juga berkata isu tuntutan Filipina itu tidak sepatutnya timbul lagi kerana kedudukan Sabah dalam Malaysia sudah termaktub seperti yang tercatat dalam laporan Suruhanjaya Cobbold serta laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. –Bernama

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada sidang media selepas perjumpaan dengan para pemimpin Pakatan Harapan Sabah dan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) bagi menghadapi Pilihanraya Negeri Sabah di Pejabat Parti Warisan baru-baru ini. – Bernama