Mohon berkat dalam mencari rezeki

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 3 Jan – Bagi mengambil berkat permulaan tahun baru, Badan Nelayan Kampung Danau, kelmarin telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran dan Doa Tolak Bala bagi nelayan-nelayan Mukim Telisai yang berlangsung di Masjid Kampung Danau, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Penghulu Mukim Telisai, Haji Ramli bin Haji Lahit.

Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Kesyukuran dan Doa Tolak Bala yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, Haji Haslan bin Haji Sahbuddin.

Semasa bacaan Doa Kesyukuran dan Doa Tolak Bala dijalankan di Masjid Kampung Danau, Tutong.
Semasa bacaan Doa Kesyukuran dan Doa Tolak Bala dijalankan di Masjid Kampung Danau, Tutong.

Majlis yang mengumpulkan lebih 50 orang ahli Badan Nelayan yang terdiri daripada nelayan-nelayan Kampung Danau, Kampung Telisai dan Kampung Bukit Beruang itu juga dihasratkan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan mereka.

Majlis juga bertujuan memohon kepada Allah S.W.T supaya terhindar dari segala malapetaka di laut dan di sungai semasa mencari rezeki serta melahirkan rasa syukur kepadaNya atas rezeki dan keselamatan yang berikan.