Mohon bersabar, bersyukur

LANGKAWI, 12 OGOS – Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta rakyat Malaysia yang terjejas akibat ribut susulan Taufan Lekima supaya bersabar dan bersyukur dengan bantuan yang diterima daripada pihak kerajaan.

Beliau berkata, walaupun bantuan yang diterima itu mungkin tidak seberapa, namun ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban yang ditanggung.

“Hari ini kita menghadapi malapetaka iaitu angin kencang telah serang Langkawi ini dan banyaklah rumah yang runtuh dan sebagainya, tetapi Alhamdulillah semuanya mendapat bantuan,” katanya semasa berucap pada majlis ramah mesra bersama penduduk sempena majlis Qurban di Kedawang di sini, hari ini.

Beliau berkata, rakyat Malaysia sangat beruntung kerana berbanding dengan sesetengah negara luar yang menghadapi bencana, rakyatnya tidak mendapat bantuan.

Perdana menteri berkata orang yang sentiasa bersyukur telah dijanjikan Allah dengan nikmat yang berlipat kali ganda.

Jumaat lalu, ribut yang dipercayai berpunca oleh Taufan Lekima melanda beberapa negeri di Utara Semenanjung yang menyebabkan kerosakan kepada banyak kediaman penduduk dan bangunan lain, selain kejadian pokok tumbang.

Dr Mahathir sementara itu turut meluangkan masa meninjau keadaan di sepanjang Pantai Tengah di sini yang teruk dibadai ribut dalam kejadian Jumaat lalu.

Beliau yang mempunyai program padat di Langkawi hari ini memandu sendiri kereta SUV Lexus bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohammad Ali melihat sendiri kesan ribut yang masih kelihatan. -Bernama

Dr Mahathir menyampaikan daging korban kepada asnaf ketika menghadiri majlis ramah mesra bersama penduduk Padang Mat Sirat, Langkawi. Beliau turut meluangkan masa meninjau keadaan di sepanjang Pantai Tengah di sini yang teruk dibadai rebut. – Bernama