VIENTIANE, 15 Jan – Kerajaan Lao akan memohon Kawasan Perlindungan Negara Hin Nam Nor untuk disenaraikan dalam warisan dunia UNESCO pada tahun depan, menurut akhbar tempatan Vientiane Times memetik pegawai sebagai berkata semalam.
Menurut laporan, taman negara berkeluasan 88,000 hektar, kira-kira 230 kilometer dari timur ibu negara Vientiane di wilayah Khammuan, sedang dicalonkan sebagai Tapak Warisan Semula Jadi Dunia kerana formasi karst batu kapurnya yang unik dan kaya dengan kepelbagaian bio hidupan liar dan tumbuhan di kawasan itu.
Laos akan menyediakan semua syarat dan dokumen untuk mencalonkan Kawasan Perlindungan Negara Hin Nam Nor sebagai Tapak Warisan Dunia, menurut Ketua Pengarah Thongbay Phothisane di Jabatan Warisan di bawah Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Pelancongan Laos memberitahu Vientiane Times Jumaat lalu.
“Kami dijangka akan menyelesaikan proses penyerahan menjelang tahun 2020. Akan tetapi kami tidak mengatakan sekiranya atau bila dokumen berkenaan akan diluluskan oleh UNESCO,” menurut Thongbay.
Menurut Kementerian proses penyerahan Kawasan Perlindungan Negara Hin Nam Nor ke Komiti Warisan Dunia telah bermula pada 1998.
“Kami telah membuat tinjauan di lapangan, mengadakan perbincangan bersama semua pihak berkepentingan dan mengadakan mesyuarat rundingan rasmi sebagai persediaan untuk memohon status Tapak Warisan Dunia bagi Kawasan Perlindungan Negara Hin Nam Nor,” tambah Thongbay.
Thongbay berkata dia percaya Hin Nam Nor akan menarik ramai jumlah pelawat dan menjana pulangan untuk orang tempatan sekiranya ia diluluskan sebagai Tapak Warisan Dunia. – Xinhua