Molave bawa kemusnahan, 35 maut di Vietnam

QUANG NAM, VIETNAM, 29 OKT – Seramai 35 orang terbunuh dan puluhan lagi dikhuatiri maut hari ini selepas taufan membadai tengah Vietnam, membawa banjir dan kemusnahan paling teruk pernah dilihat dalam masa beberapa tahun.

Taufan Molave mengganas di kampung-kampung ketika ia melanda sehari sebelumnya, menerbangkan bumbung dari rumah-rumah dan membawa hujan lebat ke kawasan yang sudah pun terjejas teruk akibat banjir selama beberapa minggu. Beratus-ratus penyelamat bertungkus-lumus untuk sampai kepada mangsa-mangsa taufan selepas beberapa tanah runtuh berlaku, namun terhalang oleh lumpur tebal dan pokok-pokok tumbang.

Sebanyak 19 mayat setakat ini ditarik keluar dari tanah runtuh di tiga buah kampung yang terjejas teruk di wilayah Quang Nam, media tempatan melaporkan. Pihak berkuasa mengatakan puluhan lagi masih dipercayai tertimbus dalam lumpur di kawasan itu.

Askar-askar merupakan antara ahli pasukan penyelamat yang menggunakan jentera berat dan jengkaut untuk memastikan akses lebih baik ke dua kampung tersebut.

Manakala itu, dua orang terbunuh awal hari ini ketika cuba melindungi kediaman mereka daripada taufan, yang keempat di Vietnam bulan ini. Sementara itu, 12 nelayan turut maut apabila bot mereka karam ketika Molave menghampiri. Seramai 14 lagi nelayan masih hilang.

Penyelamat turut menarik keluar lapan mayat awal hari ini di Kampung Tran Van, wilayah Quang Nam di mana sebuah bukit menghempap rumah-rumah. Di Kampung Tra Leng pula, tanah runtuh turut mengorbankan lapan orang daripada kira-kira 45 orang yang tertimbus. Pegawai mengatakan angka kematian di seluruh negara mungkin meningkat ketika beberapa kawasan tidak dapat melaporkan kerosakan dan angka kematian.

Pihak berkuasa turut menempatkan semula sekitar 375,000 orang ke kawasan lebih selamat, membatalkan beratus-ratus penerbangan dan menutup sekolah serta pantai-pantai. Taufan itu membadai selatan Danang membawa angin kencang sehingga 145kmsj sebelum lemah menjadi taufan tropika hari ini.

Manakala Persekutuan Palang Merah Antarabangsa dan Persatuan Palang Merah (IFRC) melaporkan bahawa hampir 90,000 rumah diterbangkan bumbungnya dan banyak lagi yang musnah akibat taufan itu.

Taufan yang juga meragut 16 nyawa dan memusnahkan rumah di Filipina, berlaku selepas Vietnam dilanda banjir dan tanah runtuh selama berminggu-minggu yang meragut 130 nyawa. – AFP/AP

Ho Ha My (kanan), 4 tahun, menangis kesakitan ketika ibunya, Ho Thi Ha memangku seorang lagi anaknya selepas diselamatkan daripada tanah runtuh di Tra Leng di wilayah Quang Nam, tengah Vietnam, kelmarin. – AFP