Molave: setengah juta dipindahkan

QUANG NAM, VIETNAM, 27 OKT – Vietnam yang dilanda banjir teruk dan kini bakal berdepan dengan taufan Molave – taufan keempat yang melanda negara itu dalam beberapa minggu, telah menyebabkan lebih dari setengah juta orang dari wilayah pesisir tengahnya dipindahkan.

Sekolah dan pantai telah ditutup dan kebanyakan penerbangan telah dibatalkan berikutan dengan cuaca yang tidak menentu.

Taufan diramal akan mendarat di selatan Danang sekitar jam 1 petang waktu tempatan hari ini, dengan angin kencang maksimum 140 kilometer sejam, menurut Balai Cerap Hong Kong.

Hujan lebat dijangka berlaku di seluruh wilayah, yang sejak awal Oktober mengalami banjir teruk dan tanah runtuh yang meragut 130 nyawa.

Banjir tersebut telah menenggelamkan 178,000 rumah, kata Persekutuan Palang Merah Antarabangsa dan Bulan Sabit Merah.

Dengan beberapa rumah masih terjejas akibat banjir, penduduk bersiap sedia berdepan dengan taufan Molave, yang mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang ketika ia melanda tengah Filipina.

“Molave ​​akan menjadi salah satu taufan terburuk, dengan angin kencang, dalam 20 tahun kebelakangan,” kata Hoang Phuc Lam, wakil ketua pusat peramalan nasional Vietnam, menurut media kerajaan. Lebih daripada 500,000 orang akan dipindahkan ke tempat tinggal sementara, kata Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Vietnam.

Vietnam terdedah kepada bencana alam pada musim hujan antara bulan Jun dan November, dengan wilayah pesisir tengah adalah paling terjejas. – AFP