CHISINAU, 6 MAC – Perdana Menteri Moldova, Natalia Gavrilita menggesa Amerika Syarikat (AS) hari ini untuk memberikan lebih banyak sokongan kemanusiaan kerana jumlah pelarian yang melarikan diri dari perang di Ukraine ke negara kecil Eropah itu mencecah 120,000.
Pada permulaan pertemuan dengan Setiausaha Negara AS yang melawat, Antony Blinken, beliau berkata negara-nya yang mempunyai 2.6 juta penduduk, salah satu yang termiskin di Eropah, sedang tertekan di bawah beban mereka yang melarikan diri daripada pencerobohan Rusia ke atas negara jiran Ukraine.
“Sehingga pagi ini, kami mempunyai lebih daripada 230,000 orang yang telah menyeberangi sempadan dari Ukraine, dan 120,000 tinggal di Moldova.
Seramai 96,000 daripada mereka adalah warga Ukraine. Oleh itu, bagi sebuah negara kecil seperti Moldova, secara berkadar, ini adalah jumlah yang sangat besar,” beliau memberitahu Blinken.
“Semua orang telah berkumpul untuk menjadi tuan rumah, untuk menyediakan tempat tinggal, untuk menyediakan makanan, untuk memberikan bantuan kepada mereka yang melarikan diri dari peperangan,” katanya. “Tetapi kami memerlukan bantuan untuk menangani masalah ini, dan kami memerlukannya dengan cepat,” tambahnya.
Blinken, pada perhentian ketiga perjalanan di Eropah untuk memupuk perpaduan menentang serangan Rusia, berkata Moldova “boleh bergantung kepada kami secara menyeluruh” untuk mendapatkan sokongan.
“Kami mengagumi kemurahan hati, keramahan, kesediaan untuk menjadi kawan baik kepada orang yang dalam kesusahan dan kami mahu melakukan segala yang kami mampu untuk membantu awda menangani masalah yang membebankan ini,” tambah Blinken.
Di Poland kelmarin, Blinken berkata Rumah Putih sedang mencari dana AS$2.75 bilion untuk sokongan kemanusiaan yang berkaitan dengan perang, yang telah mendorong lebih daripada satu juta orang keluar dari Ukraine. – AFP