Wednesday, April 24, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    MOM mohon ASTAF tamatkan kemelut sepak takraw

    KUALA LUMPUR, 4 MAC – Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meminta Persekutuan Sepak takraw Asia (ASTAF) segera meletakkan noktah kepada kemelut sepak takraw negara membabitkan dua badan induk sukan tradisi itu.

    Ketika ini Persatuan Sepak takraw Malaysia (PSM) dan Konfederasi Sepak takraw Malaysia (MSC) adalah dua badan induk yang penubuhannya mendapat kelulusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS), namun ASTAF sehingga kini belum memutuskan siapa yang bakal menjadi ahli gabungan mereka.

    Justeru, Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata jika krisis yang berlaku terus berpanjangan ia berpotensi mengganggu gugat perkembangan sukan berkenaan.

    “Saya memohon untuk ASTAF membuat keputusan yang terbaik dalam melihat senario perkembangan takraw di negara ini dan juga lebih kepada menyatukan keadaan daripada memecahbelahkan keadaan.

    “Apa sahaja keputusan persatuan antarabangsa, sama ada badan Asia atau dunia mereka itu yang akan jadi badan gabungan MOM sebab kriteria kita sangat jelas bahawa siapa ingin menjadi badan gabungan kepada MOM perlu mendapat pengiktirafan badan dunia atau Asia,” katanya. 

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Petronas di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara hari ini.

    Mohamad Norza berkata setakat ini pihaknya belum menerima permohonan daripada MSC untuk menjadi ahli gabungan MOM memandangkan MSC perlu mendapatkan kelulusan daripada ASTAF terlebih dahulu.

    “Buat masa ini MOM masih mengiktiraf PSM selagi mana PSM tidak lagi menjadi badan gabungan dan kami akan buat keputusan baru bergantung kepada kedudukan terkini apa akan dimaklumkan ASTAF kepada kami. Bagi kami setakat ini PSM adalah masih ahli gabungan MOM,” katanya.

    Semalam PSM dilaporkan telah melangsaikan kos sesi pendengaran panel disiplin ASTAF berjumlah AS$15,000 yang merupakan syarat diletakkan ASTAF untuk mempertimbangkan kemasukan semula PSM sebagai ahli gabungan mereka.

    Bagaimanapun, pada hari sama Presiden ASTAF, Abdul Halim Kader dalam kenyataan badan induk Asia itu berkata: “Tidak keterlaluan kalau saya katakan, sebelah kaki MSC kini seolah-olah sudah di ambang rumah ASTAF”. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...