KUALA LUMPUR, 17 SEPT – Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sedang menunggu laporan penuh Institut Sukan Negara (ISN) berhubung keadaan semasa jaguh berbasikal trek Malaysia, Datuk Mohd Azizulhasni Awang susulan kemalangan menimpanya ketika menjalani latihan baru-baru ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Mohd Nazifuddin Najib bagaimanapun berkata setakat ini atlet berusia 35 tahun itu kekal bersemangat waja dalam misi pemburuan pingat di Sukan Asia 2022 Hangzhou, China yang akan membuka tirai 23 September ini.
“Saya diberitahu, Isnin ini (esok) Azizulhasni akan menjalani pemeriksaan di ISN dan kami akan diberi maklumat kedudukan terkini pelumba itu.
“Sukan berbasikal sememangnya berisiko tinggi kerana mudah tergelincir namun Azizulhasni tidak mengalami kecederaan kritikal, terdapat luka-luka pada kulit dan saya difahamkan proses pemulihannya boleh berlaku dalam jangka masa pantas serta sempat pulih sepenuhnya sebelum pertan-dingan,” katanya. – Bernama
