KUALA LUMPUR, 8 JULAI – Pemain badminton nombor dua dunia, Kento Momota, tersingkir daripada Malaysia Masters dengan kekalahan straight set menentang rakan senegara Jepun, Kanta Tsuneyama pada pusingan kedua kelmarin.
Kejohanan itu merupakan penyertaan kali kedua bagi Momota beraksi di Malaysia sejak terlibat dalam kemalangan kereta di negara itu dua tahun lalu yang menyebabkan kariernya merosot. Tsuneyama yang berada di ranking ke-14 dunia, menewaskan Momota 21-15, 21-16 dalam pertemuan selama 50 minit.
Tsuneyama yang bertenaga mengatasi lawannya dengan pukulan drop shot tepat yang membuatkan Momota terkial-kial. Momota kemudiannya mengakui dia keletihan dari kejohanan berturut-turut selepas beraksi di Terbuka Malaysia pada minggu lalu.
“Saya tidak mengalami kecederaan, tetapi saya benar-benar letih daripada dua minggu terakhir kejohanan. Pada masa ini, saya tidak mempunyai tenaga simpanan yang mencukupi untuk meneruskan perlawanan,” katanya kepada pemberita.
“Saya tidak boleh bermain di peringkat tertinggi dalam 10 perlawanan berturut-turut seperti dulu. Saya tidak mempunyai ketahanan dan tidak berada dalam keadaan terbaik sekarang,” tambahnya. Terdahulu, Momota dibelasah oleh pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen pada perlawanan akhir Terbuka Malaysia pada Ahad lalu. – AFP