Monaco mara ke playoff UCL

PARIS, 11 OGOS – Monaco berjaya menundukkan Sparta Prague 3-1 kelmarin untuk mara ke pusingan playoff Liga Juara-Juara, seminggu selepas pemain kelab Ligue 1 itu, Aurelien Tchouameni berdepan dengan serangan berbaur perkauman semasa perlawanan pusingan pertama di Republik Czech.

Isnin lalu, Sparta berkata dalam kenyataan bahawa mereka ‘bersimpati dengan insiden tersebut’ ketika mereka tewas 2-0 di pusingan pertama dan Tchouameni menjadi sasaran cemuhan selepas menjaringkan gol pembukaan di ibu kota Czech itu.

Selepas pengalaman ngeri pusingan pertama di Prague, pemain berusia 21 tahun, Tchouameni sekali lagi berada dalam senarai memulakan perlawanan untuk Monaco, dilayangkan kad kuning sebelum Gelson Martins dan Aleksandr Golovin meletakkan pasukan di hadapan dengan selesa.

David Moberg-Karlsson merapatkan jurang buat pasukan pelawat dengan perlawanan berbaki kurang 15 minit sebelum Sofiane Diop meletakkan Monaco dalam tempoh 180 minit untuk beraksi di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

Monaco akan bertemu Shakhtar Donetsk pada 17 Ogos sebelum perlawanan pusingan kedua seminggu kemudian.

Reaksi Sofiane Diop meraikan gol ketika bertemu Sparta Prague, kelmarin. – AFP

Pasukan Ukraine itu menundukkan Genk 2-1 untuk melengkapkan kemenangan agregat 4-2.

“Kami berjaya melepasi ujian pertama. Ia tidak mudah,” kata pengurus pasukan, Niko Kovac.

“Shakhtar adalah pasukan yang hebat, biasa beraksi di Liga Juara-Juara, pasukan pilihan bagi perlawanan kami.”

Dalam perlawanan lain, PSV Eindhoven berjaya menewaskan Mitijyland 4-0 dalam dua pusingan.

Sementara Benfica mudah menundukkan Spartak Moscow 3-0 dalam dua pusingan, Joao Mario menjaringkan gol pembukaan 2-0 kelmarin. – AFP