PARIS , 2 Feb – Pendahulu liga Perancis, Monaco pulih selepas persembahan buruk di separuh masa kedua apabila mereka melepaskan kelebihan tiga gol sebelum ‘bangun’ untuk menewaskan pasukan divisyen bawahan, Chambly 504 dalam masa tambahan bagi aksi pusingan 32 pasukan terakhir Piala Perancis hari ini.
Juara bertahan Paris Saint-Germain (PSG) mara dengan mudah ke pusingan 16 pasukan terakhir yang menyaksikan Draxler menggegarkan gawang sebanyak dua kali dalam kemenangan 4-0 ke atas Rennes.
Monaco mendahului perlawanan dengan selesa apabila berada di depan dengan jaringan 3-0 hasil jaringan Carrillo, Thomas Lemar dan Kylian Mbappe, tetapi pasukan pelawat telah digoyahkan yang menyaksikan Chambly bangkit dengan menjaringkan dua gol dan kemudian menyamakan kedudukan di masa kecederaan.
Namun, juara lima kali itu mengembalikan pendahuluan mereka di masa tambahan melalui jaringan Kevin N’Doram dan Kamil Glik bagi menjadikan jaringan 5-3.
Chambly sekali lagi memberikan ancaman untuk bangkit sekali lagi, di mana mereka berjaya mengurangkan defisit kepada satu gol, namun kali ini mereka gagal menyamakan kedudukan.
Di Brittany, Draxler sekali lagi cemerlang bersama kelab barunya dan telah memberikan gol pendahuluan bagi skuad Unai Emery di minit ke-27 menentang Rennes.
Lucas kemudian menggandakan jaringan dengan menyudahkan hantaran dari Hatem Ben Arfa sebelum rehat. Sementara Draxler mencatatkan gol keduanya di minit ke-68.
Ben Arfa memuktamadkan kemenangan bergaya PSG dengan jaringan pertamanya sejak Ogos di penghujung perlawanan. Undian bagi pusingan seterusnya akan dibuat pada hari ini. – AFP