Monaco pecat Moreno

MONACO, 19 JULAI – Monaco telah memecat jurulatih Robert Moreno dan sedang bersedia untuk mengambil bekas pengurus Bayern Munich, Niko Kovac, beritahu sumber yang rapat dengan kelab Ligue 1 kepada AFP kelmarin.

Menurut sumber, pengurus dari Sepanyol Moreno, 42, telah dipecat oleh kelab itu hanya beberapa bulan setelah menggantikan Leonardo Jardim pada bulan Disember lalu.

Dia memimpin kelab ke tangga kesembilan di Ligue 1, gagal melayakkan ke Eropah kerana musim 2019-20 ditangguhkan dan kemudian berakhir kerana wabak COVID-19.

Perlawanan terakhirnya di Monaco dengan kekalahan 2-1 di Brest dan dia gagal memenangi tiga perlawanan terakhir pasukannya sebelum kempen itu dihentikan pada awal Mac lalu.

Kovac, yang akan menggantikan Moreno adalah ejen bebas setelah dirinya dipecat oleh Bayern pada musim lalu dan digantikan oleh Hansi Flick, yang memimpin pasukan gergasi Bavaria itu memenangi gelaran Bundesliga kelapan berturut-turut. – AFP