Wednesday, November 6, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mongolia sasar tanam 1 bilion pokok menjelang 2030

    ULAN BATOR, 9 OKT – Mongolia telah menanam sejumlah 84 juta pokok di seluruh negara sejak pelancaran kempen penanaman pokok kebangsaan pada tahun 2021, menurut pejabat akhbar presiden negara itu hari ini.

    Pada Oktober 2021, Mongolia memulakan kempen penanaman pokok di seluruh negara yang dipanggil ‘Billion Trees’ selepas pengumuman oleh Presiden Ukhnaa Khurelsukh di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, di mana beliau menyatakan bahawa kempen itu bertujuan untuk menanam sekurang-kurangnya 1 bilion pokok menjelang tahun 2030 untuk memerangi penggurunan.

    Sejak pelaksanaan kempen ini, bilangan dan saiz pokok, anak pokok, sumber benih, dan tapak semaian pokok yang ditanam serta diusahakan setiap tahun telah meningkat lima hingga enam kali ganda berbanding tempoh sebelum kempen bermula, menurut pejabat akhbar tersebut.

    Penggurunan, yang diburukkan lagi oleh perubahan iklim, telah menjadi faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kekerapan ribut debu kuning di Mongolia dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menurut Kementerian Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

    Mongolia meliputi kawasan seluas lebih 1.5 juta kilometer persegi, namun kurang daripada 10 peratus daripadanya kini berhutan. Kementerian melaporkan bahawa hampir 77 peratus wilayah negara itu telah terjejas oleh penggurunan dan degradasi tanah. – Xinhua

    Gambar Freepik

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda