Monolit besi misteri ditemui

SALT LAKE CITY, 25 NOV – Di kawasan padang pasir berbatu merah Utah tersimpan satu misteri: Monolit besi berkilauan di salah satu kawasan terpencil negeri berkenaan.

Struktur licin dan tinggi itu ditemui semasa tinjauan helikopter terhadap kambing biri-biri di tenggara Utah, kata pegawai pada Isnin.

Seorang kru dari Jabatan Keselamatan Awam dan Divisyen Sumber Hidupan Liar terjumpa objek berkilauan itu dari udara pada 18 November dan mendarat untuk memeriksanya semasa waktu rehat kerja mereka.

Mereka menemui objek keluli tahan karat dengan ketinggian bersamaan dua orang lelaki dewasa. Namun mereka tidak menemui sebarang petunjuk mengenai siapa yang telah menanamnya dalam batu merah atau pun sebabnya.

“Objek ini bukan dari dunia lain,” kata Leftenan Nick Street dari Peronda Lebuh Raya Utah, sebahagian daripada Jabatan Keselamatan Awam.

Namun, adalah jelas terdapatnya perancangan dan kerja-kerja untuk membina monolit sebesar 10 dan 12 kaki dan tertanam dalam batu.

Lokasi sebenar adalah amat terpencil sehingga pegawai tidak mendedahkannya di khalayak ramai, bimbang orang mungkin sesat atau terkandas cuba mencarinya dan perlu diselamatkan. – AP

Gambar yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan Awam Utah menunjukkan seorang pekerja Utah memeriksa monolit besi yang ditemui dipasang dalam tanah di kawasan terpencil berbatu merah di Utah. – AP