MAWLAMYINE, Myanmar, 18 Jun – Banjir di selatan Myanmar telah menyebabkan tanah runtuh di kuil Buddha yang terkenal, menenggelamkan rumah dan beratus-ratus kehilangan tempat tinggal ketika hujan monsun melanda di negara itu.
Beberapa bahagian di negeri Mon, wilayah selatan Myanmar dilanda banjir kilat akibat hujan lebat sejak hujung minggu lalu tanpa henti, menurut satu laporan agensi berita Myanmar, Global New Light hari ini.
Hujan lebat telah menyebabkan tanah runtuh dan merosakkan puncak bukit kuil Kyeik Than Lan. Manakala, koresponden AFP hari ini telah menyaksikan para pekerja sedang berusaha membersihkan kuil itu.
Seorang penduduk yang menolong pasukan penyelamat banjir, Bo Win memberitahu AFP bahawa sekitar 1,000 orang berlindung di beberapa tempat di sekitar Mawlamyine.
Menurut seorang penduduk tempatan yang lain, Nyan Soe berkata “Ini adalah banjir yang paling teruk di negeri ini yang pernah saya lihat.” Kira-kira 150 penduduk di selatan Mawlamyine dipindahkan ke sekolah kerajaan selepas berpuluh-puluh rumah dan jambatan ditenggelami air, sementara sebuah kuil musnah di seberang sungai dari bandar itu, menurut Global New Light.
Setakat ini tidak ada korban yang dilaporkan, namun hujan lebat masih melanda di negara itu. Minggu lalu lima orang terbunuh selepas hujan monsun menyebabkan tanah runtuh di Mogok, sebuah bandar di utara Myanmar yang terkenal dengan lombong batu delima.
Myanmar adalah salah satu daripada beberapa negara di rantau ini yang menghadapi banjir tahunan yang teruk. Pada tahun 2015 ia mendahului senarai global yang disusun oleh saintis iklim, sebagai negara yang paling teruk terjejas akibat cuaca ekstrem. Pada tahun itu lebih daripada 100 orang terkorban di kawasan banjir yang juga menyebabkan ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal di seluruh negara.
Sekitar 138,000 orang terkorban pada tahun 2008 apabila Cyclone Nargis telah menyebabkan banjir besar di negara itu. – AFP