Monyet ‘tawan’ Lopburi

LOPBURI, THAILAND, 24 JUN – Sebuah bandar purba Thailand yang wujud sejak abad ke-13 lagi, Lopburi kini dikuasai populasi monyet yang semakin tidak terkawal.

Penduduk tempatan, Kuljira Taechawattanawanna mengeluh mengenai populasi monyet di bandar itu, mengatakan bahawa monyet-monyet itu hidup bebas di luar, namun mereka seperti hidup dalam kurungan.

Sambil menunjuk ke arah jaring yang meliputi kawasan rumahnya, beliau berkata, “Najis haiwan itu ada di mana-mana dan baunya amat memualkan, lebih-lebih lagi ketika hujan.”

Haiwan yang tidak kenal erti takut itu menguasai jalan di sekitar kuil Prang Sam Yod di tengah bandar Lopburi, mengawasi daripada bahagian atas tembok dan merobek getah daripada pintu kereta.

Sebelum ini, tabiat haiwan berkenaan dianggap sebagai tarikan utama pelancong yang memenuhi bandar itu sebelum pandemik COVID-19 tercetus.

Namun, kerajaan mula melancarkan kempen menangani monyet terbabit selepas tingkah laku kumpulan haiwan itu berubah susulan pandemik berkenaan.

Jumlah kehadiran pelancong asing yang merudum menyaksikan monyet berkenaan turut mengalami kekurangan habuan pisang daripada pengunjung, sekali gus mendorong ia bertindak ganas.

Rakaman menunjukkan ratusan monyet menyelongkar makanan di jalanan, tular melalui media sosial pada Mac lalu. – AFP

Pengayuh beca melepasi jalan penuh dengan monyet di bandar purba Lopburi. -AFP