Moody’s jangka kadar inflasi menurun pada 2022

KUALA LUMPUR, 9 SEPT – Moody’s Investors Service (Moody’s) menjangkakan inflasi akan terus meningkat hingga 2021 di kebanyakan negara ekonomi utama, dan kembali menurun tahun depan.

Dalam nota Sector-In-Depth bertajuk ‘Makroekonomi – Global: Soalan Lazim mengenai Prospek Kami untuk Inflasi Global dan Kadar Faedah’, Moody’s berkata pada 2022, kesan asas akan berbalik semula sementara kesan kenaikan harga di tengah-tengah tekanan melalui pembukaan semula ekonomi akan hilang.

Namun, ia mengakui bahawa terdapat banyak ketidakpastian mengenai ramalan berkenaan.

“Kejutan positif dari segi permintaan atau gangguan penawaran yang lebih luas dapat menguatkan lagi inflasi, terutama di Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Ia menjangkakan sebilangan besar bank pusat di negara maju dapat mengurangi akomodasi polisi secara berperingkat, yang mana keadaannya ditentukan oleh keadaan ekonomi domestik.

Gambar fail menunjukkan kedai pakaian pada 19 Julai 2021 di California. Pertumbuhan ekonomi AS ‘turun-naik’ pada Julai dan Ogos di tengah-tengah kekurangan pekerja dan material. – AFP

Moody’s turut memaklumkan beberapa bank pusat di pasaran baharu muncul telah menaikkan kadar dasar sementara yang lain cenderung mengikutinya pada beberapa bulan akan datang meskipun pemulihan masih belum sempurna dan terdapatnya risiko penurunan dalam pertumbuhan ekonomi.

“Kitaran yang ketat akan berterusan dalam beberapa bulan akan datang, terutamanya jika tekanan inflasi bukan pada tahap sederhana.

“Bank pusat menghadapi keadaan yang sukar. Di satu sudut, kadar faedah dan mudah tunai yang rendah diperlukan untuk menyokong aktiviti ekonomi, yang hanya perlahan-lahan meningkat, dan di sisi lain pula, risiko jangkaan inflasi yang meningkat boleh menyebabkan polisi diperketatkan dengan segera,” kata Moody’s.

Sementara itu, ia menekankan bahawa unjurannya dengan mengandaikan bahawa kadar faedah penanda aras global akan meningkat dari paras terendah semasa, tetapi bertahan di sekitar tahap yang konsisten dengan trend kadar faedah yang sebenar rendah pada pasca-pandemik, kerana banyak faktor jangka panjang yang mendorong kadar faedah kekal rendah.

“Perubahan dalam simpanan dan kedinamikan pelaburan juga dapat mengubah tinjauan terhadap kadar faedah,” katanya.

Mengenai kebimbangan yang mungkin timbul daripada dasar monetari AS yang diperketatkan, ia menyatakan bahawa keadaan kewangan yang lebih ketat di AS akan meningkatkan penghindaran risiko dan merosotkan sentimen pelabur.

“Menetapkan semula risiko mampu mengakibatkan kerugian besar, yang dapat diketahui melalui ekonomi global,” kata Moody’s.

Sementara itu, ia berkata harga komoditi, produk perantaraan, kos logistik yang lebih tinggi dan dalam beberapa kes, tenaga kerja, menghasilkan harga input yang lebih tinggi, sehingga menjejaskan pendapatan dan pertumbuhan margin bagi syarikat bukan kewangan. – Bernama