Moody’s turunkan unjuran keuntungan 1.5 peratus 2020

KUALA LUMPUR, 25 MAC – Moody’s Investor Service (Moody’s) telah menurunkan unjuran agregat keuntungan operasi bagi sektor barangan bungkusan pengguna (CPG) global masing-masing kepada 1.5 peratus tahun ini dan 4.0 peratus pada 2021 berbanding unjuran awal pada 5.1 peratus dan 4.2 peratus.

CPG merujuk kepada barangan harian pengguna secara purata yang memerlukan penggantian rutin seperti makanan, minuman, tembakau, mekap dan produk isi rumah.

Namun, pada masa sama, Moody’s dalam satu kenyataan hari ini, menyifatkan prospek bagi sektor terbabit kekal stabil.

Semakan terhadap unjuran pertumbuhan keuntungan itu dibuat berikutan jangkaan bahawa penularan COVID-19 akan mengurangkan perbelanjaan pengguna.

“Unjuran kami mengandaikan bahawa sebahagian besar impak penularan itu akan dirasakan dalam separuh tahun pertama 2020 dengan pertumbuhan itu meningkat semula pada separuh kedua 2020 dan tempoh memasuki 2021.

“Bagaimana pun, kami akan meneliti untuk menurunkan lagi unjuran keuntungan itu sekiranya usaha membendung COVID-19 berdepan halangan atau sentimen pengguna terus lemah,” katanya.

Penganalisis Moody’s juga menyifatkan potensi untuk gangguan rantaian bekalan itu kekal berisiko walaupun bagi produk yang mendapat permintaan kukuh daripada pengguna.

“Impak COVID-19 itu memberi impak berbeza ke atas subsektor industri. Misalnya, syarikat yang banyak bergantung kepada tawaran produk atau saluran penghantaran yang terjejas seperti minyak wangi dan runcit ketika pengembaraan adalah lebih berisiko mengalami penyusutan permintaan berbanding yang menjana jualan seperti keperluan harian merangkumi cecair pembersih, tisu yang mencatat prestasi lebih baik,” katanya. – Bernama