Moon akhiri lawatan di Malaysia

SEPANG, 14 Mac – Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in berlepas ke Kemboja pada pukul 2.35 petang ini selepas menamatkan lawatan negara tiga hari ke Malaysia yang bermula Selasa lepas.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking dilihat berada di Kompleks Bunga Raya untuk mengucapkan selamat jalan kepada Presiden Moon dan isterinya Kim Jung-sook.

Terdahulu, Presiden Moon menerima album foto dari Darrel, yang menampilkan gambar-gambar yang diambil sepanjang lawatan.

Presiden Moon diberi sambutan negara di Dataran Parlimen kelmarin di mana Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyambut ketibaan mereka.

Dalam lawatannya Presiden Korea Selatan itu turut menemui Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, di mana mereka membincangkan isu-isu yang mempunyai kepentingan dua hala, serantau dan antarabangsa.

Dr Mahathir dan Presiden Moon turut menyaksikan majlis menandatangani empat memorandum persefahaman (MoU) yang melibatkan kerjasama industri yang berkaitan dengan Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0), kerjasama dalam bidang pengangkutan, dan pembangunan SmartCity di Malaysia, serta kerjasama dalam industri halal.

Malam tadi Presiden Moon menghadiri majlis makan malam negara di Istana Negara, yang dihoskan oleh Seri Paduka dan pagi ini pula beliau menghadiri forum perniagaan Malaysia-Korea di Hotel Mandarin, di sini.

Menurut Wisma Putra, lawatan negara terakhir oleh Presiden Republik Korea ke Malaysia adalah lawatan oleh Presiden Lee Myung-bak, dari 9 hingga 10 Disember 2010 sempena memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Selatan. – Bernama

Moon Jae-in dan isteri Kim Jung-sook melambaikan tangan sebelum berlepas dari Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kelmarin selepas menamatkan lawatan negara ke Malaysia selama tiga hari. – Bernama