Moon, ASEAN bincang proses damai Korea

SEOUL, 18 NOV – Presiden Korea Selatan Moon Jae In hari ini berkata beliau berharap untuk mengadakan ‘perbincangan mendalam’ mengenai proses damai Korea dengan pemimpin 10 negara Asia Tenggara semasa sidang kemuncak kumpulan itu yang akan datang di Busan, dan menyifatkan mereka sebagai ‘rakan serta penasihat yang boleh dipercayai’ berhubung isu tersebut.

“Masih terdapat beberapa isu kritikal yang perlu ditangani ketika ini demi keamanan di Semenanjung Korea,” katanya kepada Asia News Network (ANN), sebuah gabungan 24 organisasi media utama yang berpangkalan di Korea Selatan dan 20 negara Asia lain termasuk anggota ASEAN, lapor agensi berita Yonhap.

Moon melontarkan pandangan itu susulan jangkaan bahawa Korea Utara dan Amerika Syarikat menyambung semula rundingan nuklear di peringkat kerja dalam usaha membuka laluan untuk sidang kemuncak ketiga antara kedua-dua negara. – Bernama